Tuesday, December 25, 2007

Kasparov beralih daripada dunia catur ke arena politik

Oleh Ziauddin Sharuddin
zia@bharian.com.my


SIAPAKAH pemain catur yang paling anda kagum? Jika soalan ini ditanya kepada pemain atau sesiapa yang mengikuti perkembangan dunia catur, sudah tentu antara nama yang akan meniti pada bibir mereka ialah Garry Kasparov.

Taktik bijak dan agresif menyebabkan anak kelahiran Baku, Azerbaijan, diiktiraf sebagai pemain catur terhebat sepanjang zaman.

Kasparov yang kini berusia 43 tahun menguasai dunia catur selama dua dekad hingga bersara pada 10 Mac 2005.


Dilahirkan dengan nama Garri Weinstein, dia mewarisi darah Yahudi di sebelah bapanya, manakala ibunya berketurunan Armenian. Pada usia 12 tahun, dia menggunakan nama keluarga ibunya, Kasparyan yang kemudian diubah suai kepada versi Russia, Kasparov.

Bakatnya sebagai pemain catur terserlah sejak kecil apabila mampu menyelesaikan masalah permainan itu yang dikemukakan ibu bapanya. Pada usia tujuh tahun, dia bermain catur secara serius.

Tiga tahun kemudian, Kasparov menyertai sekolah catur Mikhail Botvinnik yang banyak mengajarnya pelbagai taktik hebat

Kejayaan Kasparov dalam dunia catur amat pantas. Kadangkala dia dilihat bukan manusia biasa. Pada usia 17 tahun sudah bergelar ‘grandmaster’. Dalam perjalanan muncul sebagai juara termuda pada usia 22 tahun, dia menewaskan deretan juara terkemuka dan menguasai tangga pertama selama dua dekad.

Antara catatan sejarah yang menarik ialah perlawanan Kasparov menentang komputer canggih IBM, Deep Blue pada 1997. Dia tewas.

Sekali lagi pada 2003, Kasparov berdepan Deep Junior yang boleh memproses tiga juta pergerakan catur dalam tempoh satu saat. Kali ini, kemampuan otaknya berjaya mengelakkan kekalahan dengan keputusan seri.

Otak Kasprov amat bergeliga, tetapi antara alasannya bersara daripada dunia catur kerana tidak lagi nampak hala tujunya dalam dunia berkenaan.

”Sebagai pemain catur, saya telah melakukan apa yang boleh. Sekarang saya mahu menggunakan pemikiran strategik dan keintelektualan untuk politik Russia,” katanya ketika mengumumkan persaraan.

Kasparov beralih ke dunia yang jauh berbeza - politik. Bagaimanapun, dia bukan baru dalam dunia politik kerana menyertai Parti Komunis Kesatuan Soviet (CPSU) pada 1984, malah pernah menganggotai Komsomol, iaitu sayap pemuda CPSU pada 1987.

Bagaimanapun, pada 1990, Kasparov meninggalkan CPSU dan beralih arah kepada pergerakan demokrasi.

Kasparov secara terbuka mahu mewujudkan sistem demokrasi di Russia dan mengkritik hebat Presiden Russia, Vladimir Putin.

Melalui ‘The Other Russia’, Barisan Sivil Bersatu pimpinan Kasparov bergabung dengan beberapa organisasi dan parti menentang Putin. Dalam usaha terbaru mencabar kepemimpinan Russia, Kasparov cuba bertanding jawatan tertinggi negara itu, Mac tahun depan.

Sama disedari atau tidak, dunia politik jauh berbeza dengan permainan catur yang dikuasainya sebelum ini. Jika Kasparov biasa melakukan syahmat (checkmate) ketika pertandingan catur, keadaan sebaliknya dalam dunia politik.

Grandmaster politik Russia, Putin lebih awal mengenakan syahmat terhadapnya apabila Kasparov hilang kelayakan mengikut undang-undang pilihan raya negara itu. Dia menyalahkan masalah memenuhi syarat mengadakan mesyuarat rasmi mencalonkannya sebagai calon.

Dia kini hilang peluang untuk menentang calon pilihan Putin, Dmitry Medvedev, bertanding jawatan presiden.

Kasparov mungkin nama besar di luar Russia sebagai simbol gerakan demokrasi menentang Putin tetapi di negaranya sendiri, dia hanya orang biasa. Dia mungkin kesayangan Barat, tetapi dengan kemakmuran limpahan wang petrol, rakyat Russia meyakini Putin.

FAKTA


Kasparov mula bermain catur ketika berusia lima tahun.
Bapanya, Moiseyevich
Weinstein, seorang guru, manakala ibunya, Klara Shagenovna adalah jurutera.
Antara minatnya ialah sejarah, politik, kesusasteraan, komputer, angkat
berat, berenang dan kebanyakan jenis sukan.
Juara catur selama 15 tahun
Gelaran itu lucut selepas tewas kepada Vladimir Kramnik di London pada tahun
2000.


Sumber: berita harian online